Wednesday, April 14, 2010

sesuatu tentang Cinta

Kalau sudah cinta, kita jadi “buta” terhadap penderitaan, kesusahan dan segala keperitan demi menyukakan hati orang yang kita cintai. Oleh itu bertuah sekali jika orang atau apa yang kita cintai itu adalah orang yang baik atau sesuatu yang baik, maka kita akan menjadi hamba kepada orang yang baik dan kebaikan. Sebaliknya, jika yang kita cintai adalah kejahatan atau orang yang jahat… kita akan diperhambai sentiasa kepada kejahatan.

Teringat kembali detik mengetahui cinta kita telah diterima oleh si dia… Ah, gembiranya saat itu. Dunia ini seakan tersenyum. Bulan, mentari dan bintang seakan turut bersama kita meraikan detik yang sangat indah itu. Bukankah dicintai lebih utama daripada dipercayai? Hati kita berkata-kata. Cinta itu satu rasa yang bertunjangkan perasaan. Perasaan tanpa kekuatan jiwa dan kematangan berfikir akan goyah apabila berdepan dengan ujian. “Perasaan” adalah hamba yang baik tetapi tuan yang sangat buruk. Justeru, jika ingin selamat, pastikan perasaan “bekerja” untuk kita, bukan sebaliknya.

Cinta memang hebat, tetapi ia tidak dapat menandingi tanggung-jawab. Cinta yang hebat ialah cinta yang ditunjangi tangung jawab. Cinta itu untuk memberi bukan untuk menerima. Lafaz, “aku terima nikah,” oleh kita sebagai suami musim lalu bukan bererti kita menerima sebaliknya untuk memberi. Berapa banyak hubungan yang terputus atau tinggal nyawa-nyawa ikan kerana hilangnya kepercayaan.
“Aku cintakannya, tetapi aku curiga apakah dia setia dengan ku?”
“Tergodakah dia bila di belakangku?”
Itulah contoh dialog hati yang merasuk bila ada cinta tetapi kurang ada percaya. Ia akan menyebabkan hilang bahagia.

Tidak percayakan seseorang disebabkan dua faktor. Pertama, kita belum benar-benar mengenalinya. Kedua, kerana kita telah benar-benar mengenalinya. Kenal itu sangat berkait dengan rasa cinta. Kita akan terus mempercayainya walau apa pun keadaan. Kita mengingatkan bila dia terlupa dan membantunya sewaktu dia ingat. Jangan sekali-kali hilang kepercayaan. Selagi kita bertekad meneruskan perkahwinan hingga ke akhir hayat, pupuklah kepercayaan. Kepercayaan itu akan melahirkan tanggung jawab dan tanggung jawab adalah oksigen cinta. Oksigen itulah yang akan memberi stamina kepada cinta untuk terus kembara dari dunia hingga ke syurga.

Jika anda bertanya bagaimana memupuk kepercayaan? Jawabnya, kembalilah kepada kepercayaan-kepercayaan yang asas dan teras. Apa lagi jika bukan Rukun Iman? Binalah semua jenis percaya di atas enam kepercayaan itu. Jika suami dan isteri percayakan Allah, dan sama-sama berpegang kepada kehendak-Nya, maka mereka akan saling mempercayai antara satu sama lain. Percayalah kepercayaan kepada Allah itu adalah simpulan yang mengikat kepercayaan sesama manusia.

Sebab itulah kepercayaan juga disebut sebagai akidah – ertinya simpulan. Simpulan yang mempertautkan segala kebaikan. Ya, kepercayaan kita kepada Allah akan menyebabkan pasangan kita mempercayai kita. Bila hancur sebuah cinta bererti hancurlah satu kepercayaan. Bila hancur kepercayaan bererti hancurlah iman. Bukankah nabi Muhammad itu lebih dahulu mendapat gelar ”Al Amin” (dipercayai) sebelum menemui srikandi cintanya Siti Khadijah?

Cinta tidak boleh terpisah daripada tanggung jawab. Jika ada cinta tetapi tidak ada rasa tanggung jawab, lambat laun cinta akan meluntur dan rumah tangga akan terkubur. Sebaliknya, jika ada tanggung jawab tetapi tidak ada rasa cinta, maka hilanglah seri dan kemanisan sebuah rumah tangga… umpama hidup segan, mati tak mahu.

Ketika kemanisan bertukar pahit, ketika keseronokan beralih kepada kesukaran, maka tinggallah rasa tanggung jawab untuk menyempurnakan sebuah perkahwinan. Ketika itu rasa cinta mungkin sedikit terumbang-ambing atau seakan-akan mula meminggir, tetapi rasa tanggung jawablah yang akan mengikatnya kembali dengan setia dan sabar. Genggam bara api biar sampai jadi arang. Begitulah kekuatan satu tanggung jawab, yang mampu bertahan ketika cuaca rumah tangga tenang ataupun bergelombang.

Ya, bila musim cinta sudah berlalu, semailah “pohon” tanggung jawab. Insya-Allah, musim cinta akan kembali dan ketenangan dan kebahagiaan akan kembali harum dan mewangi! Akan tiba masanya, sesuatu yang kita lihat indah dahulu tidak indah lagi kini. Jika kita hanya bergantung kepada perasaan, cinta kita akan tercalar. Pada ketika itu cinta memerlukan tanggung jawab dan tanggung jawab menuntut satu kepercayaan. Ketika cinta mula goyah, tanggungjawab akan datang menyelamatkan “pertunjukan” dengan peranan yang lebih berkesan.


* dipetik dari slot tentang cinta karya PAHROL MOHD JUOI

No comments:

Post a Comment